Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof.
ADNSELANGOR

ADN: Penduduk Sungai Lui diminta tenang, patuh arahan

SHAH ALAM, 29 MAC: Penduduk Batu 21 hingga 24 Sungai Lui Hulu Langat dinasihat kekal tenang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan mulai tengah malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof meminta penduduk patuh arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Ini sesuatu yang serius dan kalau penduduk tidak ikutinya mereka boleh dijangkit Covid-19. Penduduk yang tidak terlibat diminta supaya tidak berada berdekatan lokasi terbabit (Batu 23 Sungai Lui),” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Susulan perkembangan terbaharu itu, beliau memaklumkan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua akan menghentikan bantuan bank makanan kepada penduduk yang dilancarkan pada 18 Mac lalu.

“Saya yakin pihak berkuasa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memastikan bekalan mencukupi, makanan dapat diberikan kepada penduduk terjejas,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pelaksanaan PKPD membabitkan 3,918 penduduk di tujuh kampung sekitar kawasan itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.


Pengarang :