Istana Negara. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri perkenan tidak dibayar Emolumen Diraja enam bulan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan baginda bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 serta menyahut keputusan pemotongan dua bulan gaji perdana menteri dan menteri Kabinet.

“Perkenan Seri Paduka Baginda berdua turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata tersebut sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada doktor dan petugas kesihatan, khususnya barisan hadapan atas khidmat, bakti dan pengorbanan tanpa penat lelah dan mengira masa menjalankan tanggungjawab membendung pandemik itu.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata cara pengendalian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama Seri Paduka berdua, berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera.

-BERNAMA


Pengarang :