Keadaan trafik yang lengang di Pusat Bandar Shah Alam berikutan Akta Kawalan Pergerakan yang diumumkan bagi membendung penularan wabak Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Agong titah rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billlah Shah hari ini sekali lagi menitahkan rakyat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac, dalam usaha bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19.

Menerusi akaun Instagram Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dilihat mencemar duli turun padang, memandu sendiri kenderaan dengan ditemani putera Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bagi meninjau keadaan di sekitar ibu kota.

“Saya perhatikan banyak lagi kenderaan di jalan raya. Ini sudah tentu tidak menunjuk keadaan yang baik.

“Saya berharap ini dapat dikurangkan secepat mungkin untuk kebaikan bersama masyarakat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur,” titah Seri Paduka yang dipetik menerusi catatan muat naik berkenaan.

Video yang dimuat naik itu memaparkan Al-Sultan Abdullah berhenti di satu kawasan sekatan jalan raya di ibu negara.

Menurut Istana Negara, antara kawasan yang dilawati Yang di-Pertuan Agong ialah Jalan Semantan, Sri Hartamas, Jalan Loke Yew, Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan KLCC.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin pada malam Rabu mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 900 kes positif COVID-19 dengan 20 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

-BERNAMA


Pengarang :