Notis pemberitahuan operasi perniagaan ditampal pada pintu masuk sebuah restoran makanan segera ketika tinjauan di Shah Alam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM,18 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat tidak mengambil mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan kerajaan.

Titah itu dititipkan baginda menerusi hantaran pada akaun Instagram rasmi Istana Negara susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong menggesa rakyat tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak.

Sehingga 17 Mac lalu, dua rakyat tempatan disahkan mati akibat virus itu. Daripada keseluruhan 673 kes, 49 daripadanya pulih.

Sementara itu, Bernama melaporkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya rakyat terus berdoa bersama baginda memohon ihsan Allah supaya usaha membendung wabak Covid-19 dirahmati, diberkati dan situasi dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi kerajaan yang berkaitan, khususnya petugas di barisan hadapan yang berkerja dengan semangat tinggi tanpa mengira penat lelah,” katanya.


Pengarang :