Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 MAC: UDA Holdings Berhad (UDA) mengesahkan bahawa seorang Ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif Covid-19, selepas menjalani ujian pengesanan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, UDA memaklumkan individu terbabit kini dikuarantin di sebuah hospital kerajaan selepas pengesahan kes jangkitan berkenaan.

“Berdasarkan perkara itu, UDA dalam usaha mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengenal pasti individu yang berurusan secara dekat dengan individu terbabit. UDA turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, pengurusan UDA komited mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi penularan kes itu khususnya dalam kalangan warga kerja UDA.

“Usaha ini diambil demi mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua kakitangan. Langkah pencegahan turut diperkemaskan di UDA termasuk di bahagian anak syarikat seperti AnCasa Hotel Kuala Lumpur (AHKL) bagi mengatasi penularan wabak ini,” menurut kenyataan itu.

Menegaskan bahawa tiada kes dilaporkan di hotel berkenaan membabitkan ‘in-house guest’ dan perniagaan berjalan seperti biasa, pihak AHKL juga mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan garis panduan KKM untuk operasi sanitasi seluruh kawasan hotel.

“Pihak UDA dan AHKL akan terus mengamalkan langkah proaktif itu dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :