Petugas perubatan Hospital Sungai Buloh dan Kementerian Kesihatan berterima kasih kepada Raja Permaisuri Agong yang menyumbangkan pek makanan ketika mereka menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Air tangan Raja Permaisuri Agong jamu petugas perubatan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Keprihatinan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat tidak boleh dinafikan, lebih-lebih dalam situasi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Semalam, Raja Permaisuri Agong berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan baginda kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

“Hari ini (semalam) saya masak untuk doktor, jururawat dan petugas di Hospital Sungai Buloh. Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negaraku Malaysia,” titah Raja Permaisuri Agong melalui hantaran di Instagram.

Antara menu yang dihasilkan oleh baginda ialah nasi putih, kari ayam, sayur goreng dan telur dadar yang dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.

Manakala nasi goreng ‘cheminahsayang’ dan sambal tumis bilis serta kek muffin menjadi menu untuk petugas CPRC.

Hantaran tersebut mendapat perhatian warga maya yang memuji keprihatinan Tunku Azizah terhadap petugas perubatan, yang berkorban masa dan tenaga bagi merawat pesakit Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :