AGENDANASIONAL

ATM nafi helikopter tentera khas buat semburan basmi Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Tiada helikopter tentera khas digunakan untuk membuat semburan disinfeksi Covid-19 di udara di seluruh negara seperti yang tular di media sosial, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Ketika dihubungi Bernama beliau berkata berita yang tular di media sosial itu adalah palsu serta tidak tepat sama sekali.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara dalam kenyataan meminta orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat palsu berkenaan.

“Harus diingat individu didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” demikian menurut kenyataan itu.

Hari ini, tular di media sosial menyatakan helikopter tentera khas akan melakukan semburan disinfeksi virus Covid-19 di udara di seluruh negara.

Mesej berkenaan berbunyi “Anda mesti berada di dalam rumah selepas jam dua belas malam dan keluarkan (ambil) semua pakaian yang berada di luar apabila anda mendengar bunyi pesawat pada waktu malam, anda tahu bahawa ia berkaitan dengan perkara ini (Covid-19) berlaku di Malaysia. Please memaklumkan jika anda mempunyai keluarga dan rakan-rakan di Malaysia”.

-BERNAMA


Pengarang :