AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Azizulhasni peroleh gangsa kedua di kejohanan dunia Berlin

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Juara berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menamatkan cabaran di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2020 dengan memperoleh pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki.

Atlet berusia 32 tahun kelahiran Dungun itu menewaskan penyandang pingat gangsa, Mateusz Rudyk dari Poland dalam perlumbaan untuk pingat gangsa di Velodrom, Berlin Jerman hari ini dan akhirnya memperoleh penyudah podium selepas 11 tahun, menurut laman sesawang Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), www.uci.org.

Juara Kejohanan Dunia Keirin 2017 itu memenangi pingat pertamanya dalam kejohanan dunia itu, iaitu perak dalam acara pecut edisi 2009 di Pruszkow tetapi beliau tidak pernah memenangi sebarang pingat selepas itu.

Azizul bermula dengan memecahkan rekod Asia dan kebangsaan dengan catatan 9.548 saat (s) untuk mendapat tempat kelima daripada 34 pelumba dalam pusingan kelayakan, semalam memadam rekod Asia 9.609s yang dilakukan pelumba Jepun Tomohiro Fukaya dan memperbaharui rekod kebangsaannya yang diciptanya iaitu 9.760s.

Dua hari lepas, Azizul memperoleh gangsa dalam acara keirin.

Sementara itu, juara bertahan Harrie Lavreysen mengekalkan jersi pelangi selepas menewaskan rakan senegara, Jeffrey Hoogland dalam final yang dikuasai pelumba Belanda.

Lavreysen, yang juga memenangi acara keirin, sebelum itu mengalahkan Azizulhasni dalam separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :