PENDAPATRENCANA

Badai ekonomi kita dan jalan untuk harunginya

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Angka 2020 memiliki daya tarikan estetik, lebih menonjol apabila ia menjadi tempoh bagi penilaian di bawah Wawasan 2020, yang dilancarkan pada tiga dekad lepas.

Ia mungkin telah mendorong semangat ramai untuk bertekad memajukan diri tatkala sinar mentari tahun baharu mula menyinar.

Namun, ketika peredaran masa baru sahaja menjejaki Mac, dunia sudah bergelut dengan antara badai ekonomi paling sukar.

Malaysia menghadapi tiga gelora besar — kelembapan ekonomi global, pandemik Covid-19 yang boleh membawa maut serta harga minyak mentah yang amat rendah.

Harga minyak mentah merosot di bawah US$30 (US$1 = RM4.39) setong. Belanjawan 2020, yang dibentangkan pada Oktober 2019, dirangka berdasarkan harga minyak mentah purata US$62 setong, lebih dua kali ganda daripada harga semasa.

Ketika itu juga, tidak pernah dijangka Covid-19, yang memberi impak negatif secara meluas akan wujud. Kebimbangan ekonomi terbesar adalah perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlarutan sekali gus menjejaskan perdagangan antara negara malah minyak mentah pula berlegar melebihi US$55 setong.

Kerajaan berazam mengharungi cabaran itu dengan antaranya meningkatkan eksport ke China dan pasaran lain, melonjakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), menjadi tuan rumah mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan sidang kemuncaknya sepanjang tahun ini selain melancarkan Dasar Automotif Nasional untuk memesatkan pembuatan kenderaan.

Bagaimanapun, belum sempat membuahkan hasil, penularan Covid-19 itu telah melumpuhkan sebahagian industri-industri utama. Kempen TMM 2020 misalnya terpaksa dibatalkan berserta banyak acara lain manakala mesyuarat APEC ditunda. Beribu-ribu pekerjaan berdepan risiko dengan pertumbuhan negara dijangkakan terjejas teruk berikutan peningkatan inflasi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan beliau pada 13 Mac lepas, telah mengumumkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah pada 3.6 peratus hingga 4.0 peratus untuk tahun ini berbanding angka lebih optimis pada 4.8 peratus pada Disember lepas.

Bank-bank dan firma penyelidikan juga telah menurunkan unjuran masing-masing, termasuk mencecah sehingga 2.5 peratus.

Awal bulan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas untuk kali kedua tahun ini, kepada 2.50 peratus.

Malah, bank pusat itu turut menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) kepada 2.0 peratus daripada 3.0 peratus. Ini menyaksikan SRR iaitu instrumen yang digunakan oleh BNM bagi menguruskan mudah tunai, diturunkan kepada kadar terendah sejak krisis kewangan global pada 2009 apabila ia dikurangkan kepada 1.0 peratus.

Justeru, adalah dijangkakan lebih banyak pelaksanaan pendekatan dasar akan menyusul selepas ini.

Pasaran ekuiti tempatan, mata wang dan minyak mentah

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut kira-kira 360 mata atau 22.40 peratus setakat ini bagi 2020, dan pelabur institusi mengalami kerugian kira-kira RM60 bilion dalam pasaran ekuiti sahaja.

Bursa Malaysia telah kehilangan permodalan pasaran melebihi RM150 bilion tahun ini.

Senario itu bukan sahaja dialami Malaysia malah negara seperti AS), Korea Selatan, Filipina, India dan banyak lagi.

Purata Perindustrian Dow Jones Industrial merosot 29.61 peratus setakat ini bagi 2020, manakala pasaran ekuiti Korea Selatan dan Filipina melancarkan penampan kejatuhan beberapa kali kerana indeks utama mereka susut dengan ketara melebihi penanda aras purata harian.

Bagi ringgit pula, prestasinya, bersama-sama dengan mata wang negara pesat membangun, mengalami tekanan apabila pelabur melaksanakan “pencairan mata wang” dengan mengalihkan minat kepada dolar AS, iaitu mata wang dagangan global.

Bagaimanapun dari sudut positif, susulan pendekatan apungan terurus, penurunan ringgit tidak begitu ketara seperti mata wang negara pesat membangun lain, khususnya yang menjalankan perdagangan pasaran terbuka.

Setakat ini bagi 2020, ringgit susut 7.88 peratus berbanding dolar AS dan telah didagangkan di antara 4.0910 dengan 4.4137 sepanjang tempoh ini secara turun naik.

Bagi aspek minyak mentah pula, harga dunia dijangka turun lagi pada April selepas perjanjian Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di antara Arab Saudi dengan Rusia gagal sepenuhnya awal bulan ini, mengakibatkan lebihan penawaran global susulan permintaan suram.

Penurunan itu mungkin tidak berakhir lagi memandangkan penganalisis menjangkakan pasaran minyak mentah belum lagi mengalami situasi paling buruk, dengan ia diunjurkan berlaku pada April.

Sebagai sebuah negara yang merangka belanjawan tahunan sebahagian besarnya berdasarkan harga minyak mentah, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan ekonomi Malaysia dilindungi?

Langkah yang mungkin untuk kurangkan impak

1. Ubah Suai Belanjawan

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kerajaan perlu mengubah suai belanjawan tahunan kerana harga minyak mentah kini telah mencecah paras terendah baharu, yang akan menambah bebanan kepada kewangan kerajaan.

“Pada tempoh yang lepas, kita menyaksikan kerajaan memutuskan untuk membuat pengubahsuaian belanjawan sedia ada apabila harga minyak mentah jatuh ketara pada 2016,” katanya.

Menurut data dari Kementerian Kewangan, pergantungan ekonomi Malaysia terhadap minyak berada pada 20.7 peratus berdasarkan anggaran kerajaan.

Mohd Afzanizam berkata buat masa ini, kerajaan perlu berbelanja lebih untuk meningkatkan ekonomi tempatan memandangkan agensi penarafan kredit lebih terbuka kepada perbelanjaan defisit untuk melindungi momentum pertumbuhan.

“Pada 2009, kita dapat melihat defisit fiskal meningkat sehingga 6.7 peratus daripada KDNK berbanding 4.6 peratus pada 2008. Ini adalah kira-kira dua mata peratusan lebih tinggi. Diharapkan, defisit fiskal boleh dinaikkan dalam lingkungan kuantum sedemikian,” katanya.

Pada 2016, harga minyak susut kepada sekitar US$24 setong, paling rendah dalam tempoh hampir dua dekad. Ketika Bajet 2016 dibentangkan pada Oktober 2015, harga minyak mentah mencapai US$48 setong.

Kerajaan kemudiannya mengubah suai belanjawan itu untuk mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan dan mengurus negara berikutan penurunan harga minyak mentah di samping pertumbuhan ekonomi yang lembap.

Dalam belanjawan yang diubah suai itu, kerajaan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2016 kepada empat peratus, berdasarkan andaian purata harga minyak mentah Brent, yang menjadi penanda aras, akan berada di antara US$30 dengan US$35 setong.

Belanjawan yang diubah suai ini menggabungkan 11 langkah bagi mengoptimumkan perbelanjaan untuk mencerminkan keadaan ekonomi, termasuk langkah menguruskan kos sara hidup.

Berdasarkan keadaan ekonomi global serta kejatuhan harga minyak mentah, hasil negara telah dijangka menyusut sebanyak RM7 bilion hingga RM9 bilion dan kerajaan mengekalkan sasaran defisit pada 3.1 peratus.

2. Memperkenalkan Pakej Rangsangan Kedua

Mohd Afzanizam berkata pakej rangsangan kedua diperlukan untuk mengharungi keadaan ekonomi semasa, memandangkan pakej rangsangan sedia ada dirangka bagi menangani krisis kesihatan akibat penularan COVID-19.

Mengambil contoh dua pakej rangsangan yang diumumkan pada November 2008 dan Mac 2009, yang disebabkan oleh krisis subprima AS, beliau berkata kerajaan telah menyuntik kira-kira RM67 bilion ke dalam ekonomi tempatan.

Bagaimanapun, oleh kerana COVID-19 terus menjejaskan sentimen pasaran, kesan riak akan merebak kepada sektor lain seperti kewangan, katanya.

Beliau berkata tiga sektor utama yang perlu dipertimbangkan iaitu sektor penjagaan kesihatan, tidak formal dan hutang isi rumah.

“Sektor penjagaan kesihatan perlu menjadi keutamaan dengan peruntukan khas diberikan secara langsung kepadanya. Sektor tersebut mengalami situasi tegang, yang akan menyebabkan kesemua peruntukan awal digunakan sepenuhnya dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berkata bagi sektor tidak formal yang melibatkan yang bekerja sendiri atau bekerja untuk yang bekerja sendiri, mereka akan menjadi kumpulan yang paling mudah terjejas apabila berlakunya kemelesetan ekonomi, mengakibatkan mereka kehilangan semua pendapatan serta-merta.

Lebih teruk, kumpulan ini tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.

Golongan yang menyara hidup dengan bekerja sendiri yang lazimnya tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau perlindungan kesihatan, mereka akan terus mengalami kesusahan.

3. Percukaian

Daripada perspektif percukaian, KPMG Malaysia berpendapat dengan penurunan harga minyak mentah, ditambah pula penularan COVID-19 yang berlarutan, rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat mengharapkan kerajaan dapat mencari jalan untuk mengelakkan ekonomi daripada terus suram.

Ketua Cukai KPMG Malaysia, Tai Lai Kok dan Ketua Cukai Tidak Langsung firma yang sama, Ng Sue Lynn berkata berdasarkan senario semasa, langkah yang diambil juga perlu memastikan kewangan kerajaan tidak terjejas.

“Objektifnya adalah menangani situasi ekonomi sekarang. Mungkin adalah lebih baik menumpukan langkah bersasar ke atas industri terpilih.

“Dengan hasil minyak yang semakin berkurangan, mungkin sukar bagi kerajaan untuk mengimbangi di antara pengurangan kutipan cukai bagi merangsang ekonomi dengan penjanaan pendapatan mencukupi untuk menghalang kadar defisit negara daripada meningkat,” kata mereka menerusi e-mel kepada Bernama.

Mereka berkata pendekatan bersasar seperti pengecualian cukai terpilih bagi industri yang terjejas dan penting seperti pembuatan, penjagaan kesihatan serta perusahaan kecil dan sederhana, selain pelancongan akan lebih berkesan untuk dipadankan dengan insentif, dan mereka akan meraih manfaat secara langsung/

“Ini dapat dilihat melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan bulan lepas. Mungkin pengecualian cukai berkenaan perlu disertakan dengan mekanisme pulangan atau penilaian kad skor, supaya benefisiari boleh menyumbang semula kepada negara apabila ekonomi kembali pulih,” kata mereka.

Bagi perniagaan, aliran tunai menjadi cabaran penting pada masa ini.

Pelancong asing menaiki beca untuk bersiar-siar di Pulau Pinang. Foto BERNAMA

“Oleh itu, penangguhan pembayaran ansuran cukai bagi industri pelancongan seperti diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 adalah satu langkah yang baik, namun ia perlu diperluaskan kepada industri lain yang terjejas memandangkan pasti wujud kesan domino,” kata mereka.

Mereka berkata pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), walaupun pada kadar lebih rendah, kini merupakan bebanan yang sudah pasti tidak akan disambut baik.

“Matlamat yang perlu diutamakan adalah menurunkan harga barang dan perkhidmatan yang diperlukan supaya lebih berpatutan ketika krisis ekonomi semasa,” kata mereka.

Kedua-dua pakar cukai itu turut menekankan bahawa pada masa ini, pencukaian ke atas sebahagian aktiviti ekonomi yang tidak direkodkan dan tidak dikenakan cukai oleh kerajaan, wajar diberi keutamaan, terutama apabila perniagaan yang membayar cukai paling teruk terjejas sedangkan aktiviti ekonomi gelap beroperasi tanpa kawalan.

“Dikatakan saiz ekonomi gelap ini tidak diketahui, dan sekiranya pihak berkuasa boleh menyekat ketirisan cukai daripada ekonomi ini, ia pasti akan membantu mengurangkan defisit belanjawan negara tanpa membebankan rakyat,” kata mereka.

Kesimpulan

Kemerosotan ekonomi tidak dapat dielakkan, pekerjaan pula berdepan risiko, malah sebilangan akan kehilangan jaringan keselamatan.

Namun, namun percayalah badai pasti berakhir dengan hadirnya pawana bertiup lembut, awan mendung jua akan berarak lalu dan mentari menyinar kembali.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan pendapat masing-masing, sama ada peribadi atau politik dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi menyokong kerajaan untuk memperkukuh negara dan ekonomi.

Kita secara bersama, mampu mengharungi badai dan gelora ini.

-BERNAMA


Pengarang :