AGENDAEKONOMI

Bank Negara: Perkhidmatan kewangan penting masih boleh diakses

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan orang ramai masih boleh terus mendapatkan perkhidmatan kewangan penting di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula dari 18-21 Mac, 2020.

Bank pusat berkata bagi tujuan ini, semua institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan, syarikat insurans dan pengendali takaful akan memastikan operasi terminal layan diri yang berterusan tanpa gangguan termasuk mesin teler automatik (ATM) dan mesin deposit tunai di semua cawangan dan lokasi yang boleh diakses.

Perbankan elektronik, perbankan mudah alih, perkhidmatan penukaran wang dan kiriman wang, perkhidmatan kad pembayaran dan pengendalian tuntutan insurans/takaful, pengeluaran surat jaminan dan pembaharuan tahunan sijil polisi insurans/takaful juga akan diteruskan.

BNM berkata cawangan penyedia perkhidmatan kewangan akan terus dibuka semasa tempoh kawalan ini dan menyediakan perkhidmatan penting kepada orang ramai.

“Kami menggesa orang ramai akan terus bertenang dan bersabar kerana penyedia perkhidmatan kewangan menyediakan langkah pengurusan dan pengawalan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan kakitangan mereka diberi keutamaan dan dipelihara semasa tempoh ini,” kata bank pusat dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, penyedia perkhidmatan kiriman wang dan pengurup wang bukan bank terpilih akan dibuka sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu bagi memastikan perkhidmatan kiriman wang dan penukaran wang tersedia sepanjang tempoh ini.

“Orang ramai perlu merujuk kepada aplikasi atau laman web MSB (Money Services Business) Advisor bagi pengendali khusus untuk maklumat lanjut,” kata BNM.

Ia berkata semua penyedia e-pembayaran juga dinasihatkan untuk memastikan tiada gangguan kepada semua pembayaran dan kemudahan pindahan wang yang diurusniagakan menerusi e-dompet dan e-akaun pelanggan mereka.

“Pasaran kewangan Malaysia akan kekal boleh diakses dan terbuka seperti biasa sepanjang tempoh ini. Bagi tujuan ini, BNM akan terus menyediakan mudah tunai mencukupi dalam pasaran pertukaran asing, bon dan wang bagi memastikan perantaraan kewangan tanpa gangguan,” kata bank pusat.

Orang ramai amat digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan elektronik dan dalam talian bagi memudahkan penjarakan sosial untuk memastikan pengawalan Covid-19 yang efektif.

Sementara itu, isi rumah dan perniagaan yang berdepan dengan kekangan kewangan akibat daripada wabak Covid-19 dinasihatkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan kewangan bagi membincangkan mengenai langkah-langkah pembayaran semula alternatif.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk terus berhati-hati dengan penipuan berkaitan dengan Covid-19, yang mungkin dipromosikan dalam pelbagai bentuk menerusi media sosial, emel atau panggilan telefon, untuk mengambil kesempatan terhadap orang ramai dalam keadaan kecemasan seperti ini,” kata BNM.

Bank pusat menasihati orang ramai agar menghubungi terus pusat perkhidmatan pelanggan penyedia perkhidmatan kewangan mereka bagi mendapatkan pertanyaan atau bantuan.

-BERNAMA


Pengarang :