AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan Covid-19: LZS ganda usaha, segera salur kepada yang layak

SHAH ALAM, 30 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melipatgandakan usaha untuk memastikan bantuan khas Covid-19 disalurkan segera kepada golongan yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M. Yusop berkata sehingga kini lebih 45,000 permohonan diterima dengan 9,771 lulus, manakala selebihnya dalam proses semakan.

“Buat masa ini LZS tutup permohonan bagi memastikan bantuan khas Covid-19 disalurkan secepat mungkin, kemudian kita akan lihat sama ada peruntukan itu mencukupi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Peruntukan khas itu dikhususkan untuk penjaja dan peniaga kecil serta pekerja B40 yang terjejas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April.

Bantuan berjumlah RM15 juta turut diagihkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi menangani Covid-19.

Bagaimanapun, permohonannya ditutup kelmarin bagi membolehkan LZS memproses permohonan sedia ada.

Sementara itu, Saipolyazan berkata bantuan kepada asnaf fakir dan miskin diteruskan seperti biasa membabitkan kewangan, makanan, sewa rumah, perubatan serta rawatan dialisis.

Katanya, LZS turut bekerjasama dengan syarikat yang terkesan terutama pembayar zakat untuk menyantuni pekerja yang terjejas susulan PKP.


Pengarang :