Selangorkini
Permohonan boleh dibuat bermula pada 25 Mac 2020 dan akan ditutup pada 6 April 2020
AGENSI SELANGOR

Bantuan khas: LZS terima 8,778 panggilan telefon permohonan

SHAH ALAM 26 MAC: Sebanyak 8,778 panggilan diterima Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima sehingga jam 6 petang semalam berhubung permohonan bantuan khas daripada mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

LZS sebelum ini mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk bantuan segera bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan akibat wabak Covid-19 dan permohonan bantuan khas itu mula dibuka kepada orang awam mulai semalam, lapor BH ONLINE.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, daripada jumlah panggilan itu, pihaknya sudah membuat semakan ke atas 1,598 permohonan serta meluluskan segera 353 permohonan.

“Hari ini adalah hari pertama permohonan bantuan khas LZS dibuka dan kita sudah menerima 8,778 panggilan. Kami akan cuba mempercepatkan proses pemeriksaan permohonan dan setakat ini 353 permohonan sudah diluluskan mengikut tahap kecemasan pemohon.

“Semua permohonan dan pemeriksaan dibuat secara atas talian serta panggilan telefon. Malah bantuan juga akan disalurkan ke akaun penerima kerana kita tidak mahu kakitangan serta pemohon terdedah kepada wabak,” katanya.

Beliau berkata, permohonan bantuan khas itu akan dibuka sehingga 6 April depan dan pihaknya menjangkakan lebih banyak panggilan akan diterima selepas ini.

Katanya, walaupun proses pemeriksaan dilakukan secara dalam talian, pihaknya akan meminta pemohon menyediakan bukti mengesahkan mereka layak menerima bantuan zakat.

“Sebagai contoh, sekiranya ketua keluarga yang meminta bantuan, kita akan minta nombor kad pengenalan ketua keluarga (suami) dengan isteri bagi mengelak permohonan dua kali daripada keluarga yang sama.

“Bagi individu yang diberikan cuti oleh majikan sama ada tanpa gaji ataupun diberikan separuh gaji perlu mengemukakan surat daripada majikan ketika memohon bantuan,” katanya.

Beliau berkata, pemohon boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di laman sesawang LZS untuk maklumat lanjut mengenai bantuan khas berkenaan.

Ditanya adakah LZS akan menambah peruntukan susulan PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini, Saipolyazan berkata, pihak LZS akan melihat pada ‘trend’ permohonan dan sekiranya ada keperluan untuk menambah peruntukkan, pihaknya perlu merujuk kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS terlebih dahulu.

Sebelum ini, LZS mengumumkan peruntukan agihan khas itu khusus untuk golongan penjaja, peniaga kecil dan pekerja B40.

Selain itu, peruntukan agihan khas itu turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi untuk menangani COVID-19 serta bantuan makanan kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT).


Pengarang :