AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di Kuala Selangor pulih 100 peratus, Klang berperingkat

SHAH ALAM, 18 MAC: Bekalan air di Kuala Selangor pulih sepenuhnya susulan pengoperasian semula Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang, malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Abdul Halem Mat Som berkata pihaknya sedang berusaha menstabilkan bekalan air di Klang, yang dijangka pulih sepenuhnya 6 petang ini.

“Air Selangor juga menggerakkan lori tangki ke kawasan yang masih terjejas. Bagi pengguna yang mula menerima bekalan air, dimohon menggunakannya secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan ke kawasan terjejas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Kawasan di Klang yang masih dalam pemulihan seperti berikut:

-Keseluruhan Meru
-Seluruh Perepat
-Taman Samudera
-Keseluruhan Bukit Kapar
-Jalan Kapar Batu 1-5
-Kampung Telok Gong
-Seluruh Kapar
-Kampung Pulau Indah
-Pulau Ketam
-Seluruh Sementa
-Perindustrian Pulau Indah Fasa 1

Katanya, Air Selangor akan terus menyalurkan status terkini kepada pelanggan dari semasa ke semasa melalui semua medium komunikasi termasuk media sosial dan laman sesawang www.airselangor.com.

Abdul Halem turut menggalakkan pengguna memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Empat LRA terpaksa dihenti tugas petang semalam susulan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanapun, tindakan operasi pengepaman air kolam serta pelepasan air mentah daripada Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi serta kolam takungan Horas 600 berjaya mencairkan bahan pelarut di dalam sungai berkenaan.


Pengarang :