AGENSISELANGOR

Bekalan air di Petaling 80 peratus pulih

SHAH ALAM, 19 MAC: Pemulihan gangguan bekalan air di kawasan Petaling susulan penurunan paras Kolam Air Kota Damansara dan Kolam Effingham mencapai tahap 80 peratus setakat 7 pagi tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som berkata dua kawasan yang belum pulih ialah Saujana Damansara dan Damansara Damai.

“Usaha sedang dilaksanakan bagi menstabilkan sistem agihan bekalan air dan memastikan semua pelanggan mendapat bekalan terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami turut memohon kerjasama pelanggan menggunakan air secara berhemat untuk memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan yang masih terjejas,” katanya menambah bekalan dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari ini.

Katanya, bantuan kecemasan lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas selain akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Pelanggan yang ingin mendapatkan perkembangan terkini boleh merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang di www.airselangor.com.

Terdahulu, seramai 30,574 pengguna di kawasan Petaling terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penurunan paras Kolam Air Kota Damansara dan Kolam Effingham kerana permintaan tinggi di kawasan terbabit.

Antara kawasan terjejas ialah Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3, Damansara Damai PJU 10, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Desa Aman, Kampung Paya Jaras, Merbau Sempak, Penjara Sungai Buloh, Saujana Damansara, Seksyen 20, 21 dan 22 serta SB Jaya.


Pengarang :