AGENSISELANGOR

Bekalan air di Petaling dijangka pulih tengah malam ini

SHAH ALAM, 19 MAC: Bekalan air yang terjejas di Saujana Damansara dan Damansara Damai di Petaling dijangka pulih sepenuh menjelang jam 12 tengah malam ini, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som berkata kerja pemulihan bagi dua kawasan itu melibatkan 11,040 akaun pengguna dan pihaknya telah mengenal pasti terdapat gangguan teknikal di paip yang mengagihkan air hingga menyebabkan kelewatan proses berkenaan.

“Air Selangor berjaya mengatasi masalah tersebut dan pada masa ini segala usaha sedang dilaksanakan bagi mempercepatkannya.

“Sementara bekalan pulih, bantuan air menerusi lori-lori tangki terus digerakkan di kawasan terjejas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Air Selangor memohon kerjasama pelanggan untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa dan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat boleh terus merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang di www.airselangor.com


Pengarang :