AGENDANASIONAL

Budak lima tahun korban pertama rabies di Sarawak tahun ini

SHAH ALAM, 30 MAC: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Bandar Sibu, Sarawak disahkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies atau anjing gila.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa meninggal dunia pada 25 Mac lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sibu.

Katanya, sampel ujian yang dihantar ke Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) disahkan mangsa positif dijangkiti rabies pada 29 Mac.

“Mangsa pernah digigit anjing liar pada 8 Mac 2020 di muka, mulut dan kelopak mata. Bagaimanapun, luka gigitan tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

“Dia kemudian dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari sama dan mendapat suntikan vaksin antitetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) serta dua dos suntikan vaksin antirabies.

“Pada 13 Mac 2020, dia dibenar keluar wad dalam keadaan sihat, dos ketiga vaksin antirabies diambil pada 16 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada 24 Mac, kanak-kanak terbabit dibawa mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam.

“Seterusnya dia dibawa ke Hospital Sibu pada keesokan hari kerana sakit tekak dan sukar menelan air serta berhalusinasi.

“Dia dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut, keadaannya bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Punca kematian adalah rabies encephalitis,” katanya.

Ini adalah kes pertama tahun ini menjadikan 23 jangkitan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak wabak berkenaan diisytiharkan pada 31 Julai 2017.

Kes rabies terakhir yang dilaporkan di Sarawak pada 8 November 2019.


Pengarang :