AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki penurunan Wall Street

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini menjejaki penurunan di Wall Street dalam tempoh semalaman selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan Covid-19 sebagai pandemik.

Susulan itu, Purata Perindustrian Dow Jones mengakhiri dagangan dengan susut 5.86 peratus, S&P 500 turun 4.89 peratus manakala Nasdaq kurang 4.7 peratus.

Pada 9.02 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 17.54 mata atau 1.21 peratus kepada 1,426.29 daripada 1,443.83 ketika ditutup pada Rabu.

Baromater tempatan itu dibuka 12.42 mata lebih rendah pada 1,431.41 pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 309 berbanding 54, manakala 118 kaunter tidak berubah, 1,535 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 159.87 juta saham bernilai RM56.84 juta.

Sentimen pasaran juga tidak memberangsangkan, dengan FBM Small Cap, FBM ACE, FBM70, tenaga serta perladangan semua mengalami penurunan, kecuali penjagaan kesihatan yang meningkat 2.99 mata atau 0.22 peratus.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan hari ini berkata tekanan jualan ke atas Wall Street yang mendorong indeks utama mencatatkan lingkungan rendah dijangka turut mempengaruhi pasaran saham Asia hari ini.

“Berdasarkan keadaan pasaran yang dilihat lebih tidak menentu, kami menjangkakan Bursa Malaysia mengalami kelembapan pada permulaan dagangan hari ini. Ketidaktentuan yang wujud semula mungkin memberi tekanan kepada bursa tempatan ke arah paras sokongan baru-baru ini iaitu 1,415.

“Sekiranya paras itu gagal bertahan, kelemahan seterusnya dijangka pada paras 1,400. Kami terus menjangkakan peningkatan semula yang sederhana dalam keadaan kekurangan pemangkin baharu,” menurutnya.

Firma penyelidikan itu berkata saham murah dan saham pasaran meluas terus menyaksikan minat belian namun peningkatan semula mungkin disusuli dengan aktiviti pengambilan untung serta-merta.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank susut sembilan sen kepada RM8.30, Tenaga turun 18 sen kepada RM12.44, Public Bank kurang lapan sen kepada RM16.72 manakala IHH menguncup lima sen kepada RM5.54.

Antara saham aktif, Sapura Energy dan Borneo Oil masing-masing turun setengah sen kepada 11 sen dan 2.5 sen sementara Hibiscus Petroleum kurang dua sen pada 41.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 132.80 mata kepada 9,947.58, Indeks FBM Emas Syariah susut 155.77 mata kepada 10,562.73 dan FBM 70 merosot 193.07 mata kepada 11,879.91.

Indeks FBMT 100 turub 129.44 mata kepada 9,815.52 manakala FBM Ace kurang 87.20 mata kepada 4,637.32.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 2.7 mata kepada 120.75, Indeks Perladangan susut 98 mata kepada 6,295.58 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 126.74 mata kepada 13,786.72.

– BERNAMA


Pengarang :