AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah seiring saham Asia jatuh

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan penyusutan minat selepas meningkat selama dua hari berturut-turut, sebelum ini.

Penyusutan yang dicatatkan hari ini juga seiring dengan prestasi saham Asia lain akibat penurunan harga minyak dan kenaikan kertas Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada 9.10 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.38 mata kepada 1,312.12 selepas menokok 9.23 mata sewaktu dibuka.

Bagaimana pun, indeks itu mencatat penurunan selepas seminit dagangan dijalankan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 220 berbanding 122 manakala 198 kaunter lain tidak berubah, 1,479 tidak diniagakan dan 26 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 223.38 juta saham bernilai RM126.89 juta.

Seorang penganalisis menyifatkan prestasi lebih baik selama dua hari itu disebabkan oleh kegiatan pembelian saham berharga rendah yang aktif serta merentasi semua papan dan seiring dengan aliran global berikutan pergerakan harga minyak global.

“Penyusutan prestasi itu turut dicatatkan pasaran saham Nikkei Jepun yang turun lebih 2 peratus di tengah-tengah usaha lanjut kerajaan itu mengehadkan pergerakan akibat Covid-19,” katanya.

Di peringkat tempatan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi menangani peningkatan kes pandemik tersebut.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Dagangan susut 48 sen kepada RM19.52, PPB turun 38 sen kepada RM16.52, Digi rugi 10 sen kepada RM4.05, Sime Darby Plantation rendah 13 sen kepada RM4.57 dan Hap Seng Consolidation berkurangan 32 sen kepada RM7.48.

Bagi saham paling rugi, Allianz Malaysia susut 88 sen kepada RM11.82 manakala Hong Leong Financial turun 68 sen kepada RM12.76.

Indeks FBM Emas susut 69.24 mata kepada 8,918.83, Indeks FBM Emas Shariah turun 66.77 mata kepada 9,704.09 dan FBM 70 berkurangan 56.25 mata kepada 9,976.12.

Indeks FBMT 100 pula kehilangan 76.45 mata kepada 8,852.78 dan FBM Ace susut 11.00 mata kepada 3,647.27.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.89 mata kepada 100.09, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 107.41 mata kepada 12,041.01 dan Indeks Perladangan susut 93.24 mata kepada 5,920.67.

-BERNAMA


Pengarang :