AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, tekanan jualan

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit susulan tekanan jualan membabitkan saham-saham wajaran tinggi ketika peniaga menjejaki kerugian besar semalaman di Wall Street akibat kejatuhan harga minyak global serta penularan COVID-19.

Pada jam 9.03 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.79 mata kepada 1,422.37 daripada 1,424.16 pada akhir dagangan, semalam.

Sewaktu dibuka, FBM KLCI dibuka susut 8.3 mata kepada 1,415.86.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 410 berbanding 66 manakala 153 kaunter tidak berubah, 1,377 tidak diniagakan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 195.25 juta saham bernilai RM102.25 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikannya berkata kejatuhan mendadak harga minyak mentah pada Isnin menyebabkan kebanyakan ekuiti global mencatat penyusutan.

“Dalam keadaan yang menyaksikan aliran keluar dana asing yang berterusan, keadaan pasaran terus lemah dan berkemungkinan besar menyebabkan aktiviti jualan saham yang terus ketara di Bursa Malaysia dalam masa terdekat ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata jualan besar-besaran membabitkan saham di Amerika Syarikat turut menular di peringkat global susulan kebimbangan mengenai lambakan bekalan minyak mentah serta risiko kemelesetan global akibat Covid-19.

Di Bursa Malaysia, pasaran masih mengalami penyusutan akibat kejatuhan harga minyak mentah itu pada Isnin dengan indeks utama mencecah paras sokongan 1,455 dengan keadaan terus dipengaruhi oleh perkembangan sokongan berikutnya.

Beliau berkata, kegagalan kesepakatan di antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang diketuai Arab Saudi, dengan Rusia pada Ahad lepas terbukti memberi kesan drastik kepada sektor minyak dan gas.

Sementara itu, Affin Hwang berkata minyak mentah Brent mencecah paras terendah harian sebanyak US$32 setong (susut 30 peratus semalaman) dan menyebabkan indeks Tenaga Malaysia merosot 25 peratus sewaktu ditutup pada Isnin.

Ia mengekalkan saranan “neutral” pada sektor terbabit namun mengurangkan harga sasaran bagi saham berkenaan atas alasan risiko premium lebih tinggi dengan mengambil kira ketidaktentuan jangka pendek.

-BERNAMA


Pengarang :