AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia turun 73.22 mata kesan Wall Street jatuh

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan indeks penanda aras Asia, berikutan penjualan di Wall Street dalam tempoh semalaman selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Susulan pengumuman WHO itu, Purata Perindustrian Dow Jones turun 9.99 peratus, S&P 500 susut 9.51 peratus dan Nasdaq turun 9.43 peratus semasa mengakhiri dagangan masing-masing.

Prestasi itu merupakan penurunan harian paling teruk dialami indeks Dow Jones dan S&P 500 bagi tempoh sejak 1987.

Pada 9.04 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 73.22 mata atau 5.15 peratus kepada 1,346.21 sekali gus menjadi paras terendah sejak 2010, daripada 1,419.43 ketika ditutup semalam.

Indeks tempatan itu dibuka 55.67 mata lebih rendah pada 1,4363.76.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 638 berbanding 31 manakala 79 kaunter tidak berubah, 1,274 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 352.93 juta saham bernilai RM134.52 juta.

Tekanan jualan di Bursa Malaysia pagi ini dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Sentimen pasaran juga lemah seperti ditunjukkan FBM Small Cap (-6.08 peratus), FBM ACE (-6.27 peratus) dan Teknologi (-6.94 peratus).

“Saham-saham Malaysia akur kepada tekanan jualan susulan pengisytiharan WHO bahawa COVID-19 adalah satu pandemik.

“Susulan langkah WHO itu, kelembapan global mungkin meningkat melebihi paras 50 peratus (daripada 25 peratus yang dicatatkan sejak awal tahun ini) dan menimbulkan kebimbangan bahawa kesan penularan virus itu mungkin dialami di seluruh dunia,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

-BERNAMA


Pengarang :