AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Caruman KWSP tujuh peratus berkuat kuasa April-Disember 2020

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Pengurangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 peratus kepada tujuh peratus di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berkuat kuasa April 2020 (caruman Mei 2020) sehingga Disember 2020 (caruman Januari 2021).

KWSP dalam kenyataan memaklumkan perkara itu tertakluk kepada Jadual Ketiga Akta KWSP 1991 dan kadar caruman berkanun syer baharu terpakai untuk pekerja bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

“Kadar caruman berkanun untuk pekerja 60 tahun dan ke atas kekal,” menurut kenyataaan itu semalam.

Ahli boleh membuat pilihan untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2020) yang perlu dikemukakan kepada KWSP melalui majikan masing-masing dan berkuat kuasa mulai bulan berikutnya.

Borang itu boleh dimuat turut melalui laman sesawang www.kwsp.gov.my pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengurangan kadar caruman daripada 11 peratus kepada tujuh peratus sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi kerajaan yang diumumkan pada 27 Februari lalu bertujuan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi susulan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :