Seorang wanita memakai topeng pelindung muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19, terpapar pada skrin ketika beliau melalui pemeriksaan saringan suhu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada 27 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 12 kes baharu di Singapura, jumlah 150 kes

SINGAPURA, 9 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 12 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu dengan satu kes dari luar membabitkan seorang warganegara Indonesia.

MOH dalam kenyataan di sini berkata lelaki Indonesia berusia 64 tahun itu tiba di Singapura pada 7 Mac dan disahkan mempunyai jangkitan COVID-19.

Menurut kementerian itu, sembilan lagi kes adalah sebahagian daripada kluster termasuk melibatkan majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong pada 15 Februari, menjadikan jumlah kes dikaitkan dengan kluster itu kepada 30.

Satu daripada kes baharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penduduk tetap Singapura yang berada di Thailand pada 4 hingga 6 Mac.

Dia adalah ahli keluarga Kes 132, yang mungkin merupakan kes luar melibatkan seorang wanita berusia 37 tahun, merupakan penduduk tetap Singapura yang berada di London dari 23 hingga 27 Februari.

Menurut MOH sehingga kini 90 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital.

Daripada 60 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala sembilan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti 3,649 kontak rapat yang dikuarantin.

-BERNAMA


Pengarang :