Pembantu perubatan memeriksa suhu badan orang awam sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Damai, Seksyen 7, Shah Alam pada 27 Mac 2020 sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 130 kes baharu, 26 meninggal dunia

SHAH ALAM, 27 MAC: Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 26 orang dengan 130 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,161 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian ke-25 (pesakit 2,032) membabitkan lelaki tempatan berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac dan disahkan meninggal pada 26 Mac jam 6.55 petang.

“Kes kematian ke-26 (pesakit 1,321) lelaki tempatan berusia 53 tahun, yang juga kontak rapat kepada kes positif ke-1,309. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac jam 10.30 pagi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 54 pesakit kini berada di unit rawatan rapi dengan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak 44 pesakit berjaya sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih sebanyak 259 orang.

Semalam, negara merekodkan jumlah kes baharu tertinggi dalam sehari, iaitu sebanyak 235 pesakit.

 


Pengarang :