Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 14 kes baharu jadikan kes positif meningkat 50

PUTRAJAYA, 4 MAC: Sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat ke 50 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata gelombang pertama Covid-19 di Malaysia, merangkumi 22 kes yang kesemuanya telah sihat dan dibenarkan pulang.

“Setelah 11 hari tiada kes baharu dilaporkan, gelombang kedua Covid-19 bermula pada 27 Februari.

“Bagi gelombang kedua sehingga 4 Mac terdapat 28 kes positif Covid-19 iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-50,” katanya pada sidang media Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, bagi gelombang kedua terdapat satu kluster Covid-19 yang melibatkan kes positif ke-26.

Kes positif Covid-19 ke-31 hingga kes ke-50 merupakan kontak rapat kepada kes positif yang ke-26, katanya lagi.

Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang telah dijalankan sehingga kini terdapat 215 kontak rapat kes positif ke-26 yang dikesan, katanya.

“Daripada jumlah kontak rapat itu, 16 kes dikesan positif Covid-19, 19 adalah negatif dan 180 menunggu keputusan,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata siasatan mengenai kluster ini masih diteruskan dan KKM berharap semua pihak dapat bertenang dan sentiasa bekerjasama, dengan memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi dan dikenal pasti sebagai kontak rapat.

“Semua pihak diminta tidak menularkan sebarang maklumat, yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam,” katanya lagi.

KKM dengan kolaborasi pihak swata, akan menjalankan perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 di rumah orang awam, yang ingin menjalankan ujian pengesanan Covid-19, di mana caj akan dikenakan oleh pihak swasta itu.

Pengumuman rasmi mengenai perkara ini akan menyusul dalam masa terdekat, kata Dr Noor Hisham lagi.

– BERNAMA


Pengarang :