Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 33 pesakit sembuh, dibenar keluar wad

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Seramai 33 individu dijangkiti Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah.

Melalui platform Twitter @DGHisham, beliau juga menasihatkan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Jamek Sri Petaling di sini dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu tidak solat berjemaah di masjid dan surau atau menghadiri solat Jumaat sekiranya mempunyai gejala sehingga mereka disahkan sihat.

Dr Noor Hisham turut menyarankan ahli jawatankuasa dan pengurusan masjid serta surau mengambil langkah pencegahan dan pembersihan di masjid dan surau menangani Covid-19.

“Disaran pengurusan masjid dan surau kerap membersihkan permaidani, pintu dan selusur (railing) menggunakan bahan pencuci dan bahan penyahjangkit,” katanya.

Katanya, pengurusan masjid dan surau perlu mengingat kembali dan mengesan ahli jemaah yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan seterusnya memberi nasihat kepada mereka untuk disaring bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Semalam, sebanyak 39 kes baharu positif Covid-19 setakat 12 tengah hari, menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 197 kes.

-BERNAMA


Pengarang :