Seorang wanita memakai topeng pelindung muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19, terpapar pada skrin ketika beliau melalui pemeriksaan saringan suhu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada 27 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: 47 kes baharu di Singapura, keseluruhan 313

SINGAPURA, 19 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan 47 kes positif baharu Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan 313 kes, semalam.

Daripada 313 kes keseluruhan itu, 33 adalah kes dari luar melibatkan 30 penduduk Singapura yang dijangkiti virus berkenaan di luar negara dan kembali ke negara itu, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak, pada sidang akhbar Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19 di sini.

Dalam satu kenyataan berasingan, kementerian itu memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Khas Singapura-Malaysia membincangkan pelan mitigasi bersama bagi memastikan pergerakan rakyat, barangan dan perkhidmatan yang selamat dan berterusan antara kedua-dua negara.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional Teo Chee Hean bersama Menteri Kanan dan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara selama 14 hari bermula 18 Mac yang meliputi, antara lain sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara serta sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke Malaysia.

Sementara itu, berikutan peningkatan risiko kemasukan kes luar Covid-19 ke Singapura, republik itu akan mengenakan kawalan sempadan tambahan dan sekatan perjalanan bermula 20 Mac pada 11.59 malam.

Menteri Pembangunan Negara Singapura Lawrence Wong berkata mereka yang memasuki Singapura dari semua negara akan diberikan Notis Duduk Di rumah (SHN) selama 14 hari.

Wong yang juga Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19 berkata demikian pada sidang akhbar yang sama bagi memaklumkan perkembangan terkini wabak berkenaan di republik itu hari ini.

Mereka yang memasuki negara itu perlu memberi bukti tempat di mana mereka akan tinggal bagi memenuhi SHN 14 hari, contohnya tempahan hotel yang merangkumi keseluruhan tempoh, atau tempat kediaman mereka atau ahli keluarga mereka sendiri.

-BERNAMA


Pengarang :