Datuk Kamarudin Jaffar. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 81 rakyat Malaysia, ahli keluarga dari Itali selamat tiba

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Seramai 81 rakyat Malaysia dan tanggungan mereka yang dibawa pulang dari Itali akibat terjejas dengan penularan Covid-19 selamat tiba di negara ini pagi tadi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam satu kenyataan, Kamarudin berkata pesawat sewa khas AirAsia yang membawa mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi.

“Jumlah ini turut merangkumi 34 orang pelajar dan lapan orang pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Pesawat itu turut membawa seramai 17 orang kru dan tujuh orang penjawat awam iaitu seorang dari Kementerian Luar Negeri, seorang dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lima orang dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, katanya, setibanya di Malaysia kesemua mereka akan menjalani proses kuarantin di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh KKM.

Kamarudin berkata misi repatriasi ini adalah hasil kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri, NADMA, KKM, Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak NADMA, KKM, Kedutaan Besar Malaysia di Rome dan Holy See serta agensi-agensi lain yang telah memberikan kerjasama yang amat yang baik dalam menjayakan misi ini,” katanya.

Minggu lepas, kerajaan membawa pulang seramai 46 rakyat Malaysia serta sembilan rakyat negara jiran dari Iran menerusi siri ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) akibat penularan wabak Covid-19.

Dalam dua misi terdahulu kerajaan telah membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dari Wuhan, China pada 4 dan 26 Februari lepas akibat wabak itu, dengan masing-masing berjumlah 133 dan 66 orang.

– BERNAMA


Pengarang :