Pelumba PETRONAS Sprint Yamaha Maju, Motor Ahmad Afif Amran (kiri) dan Md Akid Aziz ketika beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Sementara Dataran Seri Jempol pada 17 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Covid-19: Aktiviti sukan motor tangguh

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) memutuskan menangguhkan semua penganjuran aktiviti sukan permotoran ke satu tarikh ditentukan kelak.

Menurut MAM, dalam kenyataan hari ini, keputusan tersebut dibuat berdasarkan nasihat kerajaan Malaysia, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

“MAM terus memantau situasi semasa dan sentiasa memaklumkan maklumat terkini kepada komuniti sukan permotoran .

“Kami berharap semua dapat mengambil langkah pencegahan lebih rapi dan menjaga kebersihan sepanjang tempoh ini,” menurut MAM.

Semalam, kerajaan memutuskan semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April berikutan penularan Covid-19.

Sementara itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga membuat keputusan untuk membatalkan atau menangguhkan semua acara yang berlangsung di Litar Sepang hingga ke satu masa yang ditentukan kemudian.

Keputusan dibuat ini menyebabkan penganjuran perlumbaan ujian GT Asia, penganjuran Malaysia Speed Festival (MSF) dan Desmo Cup, dibatalkan manakala pusingan pertama dan kedua Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) dijadualkan pada 27-29 Mac dan 10-12 April dan pusingan pertama Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) (3-5 April) ditangguhkan.

-BERNAMA


Pengarang :