Pelancong mengenakan topeng muka sebagai perlindungan susulan Covid-19 ketika bersiar-siar di Washington, Amerika Syarikat pada 9 Mac 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Amerika Syarikat atasi China, tertinggi di dunia

SHAH ALAM, 28 MAC: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi di dunia dengan angka 85,653 sekali gus mengatasi China yang jumlahnya 82,672 setakat semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter berkata wabak berkenaan telah membunuh lebih 24,000 orang di seluruh dunia dengan Itali merekodkan kematian tertinggi 8,000 nyawa.

“Kadar kematian di Itali tertinggi iaitu lebih 10 peratus dan Indonesia pada kadar 8.7 peratus.

“Kematian di negara-negara Eropah makin membimbangkan terutama di Sepanyol, Jerman, Perancis, Switzerland dan United Kingdom,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kebimbangan sekiranya Covid-19 merebak dan menjadi tidak terkawal di negara-negara benua Afrika yang masih kekurangan kemudahan kesihatannya.

Semalam KKM memaklumkan jumlah kematian di Malaysia meningkat kepada 26 orang dengan 130 kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan rakyat negara ini dijangkiti 2,161 kes.

Daripada jumlah tersebut, 54 mangsa sedang dirawat di unit rawatan rapi manakala 259 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.


Pengarang :