Pengunjung melalui pemeriksaan suhu di Singapore Airshow di tengah-tengah kebimbangan mengenai penyebaran Covid-19 di negara itu pada 13 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19 : Empat kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan 106

SINGAPURA, 1 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan empat lagi kes jangkitan Covid-19 dengan dua daripadanya membabitkan warga Myanmar dan Jepun, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan 106 kes 19 di republik itu.

Tiga daripada empat kes itu mempunyai pertalian dengan kluster baharu di Wizlearn Technologies Pte Ltd yang jumlahnya kini meningkat kepada 11 kes, kata MOH, dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kluster lain menunjukkan lapan kes mempunyai pertalian dengan The Life Church and Missions Singapore; Grace Assembly of God (23); kedai ubat Yong Thai Hang (9); mesyuarat perniagaan yang diadakan di Grand Hyatt Singapore (3) dan lima kepada tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights.

MOH berkata semua empat kes baharu itu tiada sejarah perjalanan ke China, mahupun ke daerah Cheongdo dan bandar Daegu di Korea Selatan baru-baru ini, namun dua daripadanya pernah ke Batam, Indonesia, selama tiga hari mulai 21 Februari lalu.

Keempat-empat kes itu kini dirawat di bilik isolasi Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Mengenai situasi kes yang disahkan, MOH berkata dua pesakit dibenarkan keluar daripada hospital hari ini menjadikan jumlah yang pulih sepenuhnya 74 orang, dua daripadanya mempunyai pertalian dengan kluster di Grace Assembly of God.

Daripada 32 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala tujuh dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, kata MOH.

Sehingga tengah hari ini, MOH telah mengenal pasti 3,133 kontak rapat yang dikuarantin, 2,766 daripadanya telah melengkapkan kuarantin mereka.

-BERNAMA


Pengarang :