Pemakaian topeng mulut dan hidung oleh orang ramai dilihat sudah menjadi kebiasaan sebagai langkah pencegahan susulan penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 7 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Enam kes positif baharu dilaporkan hari ini

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Enam kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini sebanyak 99 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua kes itu telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya selain kontak-kontak rapat bagi kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

Kesemua kes baharu yang dilaporkan pada hari ini terdiri daripada kontak-kontak rapat kluster kes ke-26,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang dijalankan sehingga punca jangkitan terjadi dapat dikenal pasti, katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18 kes dikesan di kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan Covid-19, dengan 79 kes daripada kalangan kontak rapat dan dua lagi kes daripada Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak dua kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral,” jelasnya.

Menurut beliau, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan ini (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-99), hanya lima kes sahaja yang dilaporkan dari kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Kes-kes lain pula melibatkan kluster terdiri daripada kontak-kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, beliau berkata kes ke-41 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur.

Ia menjadikan 24 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19 dan telah diibenarkan keluar hospital, katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan turut menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

Sehingga 8 Mac, sebanyak 567 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Berdasarkan maklumat semasa buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan individu yang telah diarahkan untuk menjalani “home surveillance” untuk mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang telah ditetapkan.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang awam yang bergejala agar tidak mengunjungi tempat-tempat yang padat dengan orang ramai serta jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.

Orang awam juga diingatkan supaya tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian Covid-19 ini seperti tempat-tempat yang dicemari oleh Covid-19.

Masyarakat turut disaran untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke luar negara, terutamanya ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19 di China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

– BERNAMA


Pengarang :