Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: GLC sumbang RM60 juta kepada KKM

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah memberi sumbangan bernilai kira-kira RM60 juta dalam bentuk perubatan, peralatan perubatan serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata sektor korporat turut disarankan untuk mengikuti teladan GLC kerana semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan negara kita berjaya menangani wabak Covid-19.

“Kerajaan menyambut baik sumbangan dan derma yang dibuat oleh rakyat Malaysia serta sektor korporat dalam bersama-sama membantu menangani wabak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan ini, beliau berkata kementerian telah meluluskan potongan cukai bagi sumbangan dan derma dalam bentuk tunai dan barangan yang dibuat kepada Tabung Covid-19 dan KKM.

Tengku Zafrul berkata proses penyediaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Kedua 2020 sedang giat dijalankan dan akan mengambil kira maklum balas dari pelbagai pihak berkepentingan demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan syarikat sektor swasta dan kedayatahanan ekonomi negara dalam berdepan dengan cabaran Covid-19 serta ketidaktentuan ekonomi global.

Ia merupakan tambahan kepada pakej rangsangan RM20 bilion yang diumumkan pada bulan Februari lepas.

Katanya, rakyat Malaysia juga turut dijemput memberi maklum balas untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di http://pre2020.treasury.gov.my/

Beliau berkata beberapa inisiatif yang diumumkan pada bulan Februari lepas kini sedang berjalan lancar.

Antaranya ialah pengecualian cukai perkhidmatan untuk perhotelan berkuat kuasa 1 Mac, 2020 dan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman oleh institusi kewangan bagi peminjam-peminjam yang terjejas, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan B40.

Selain itu, inisiatif itu turut melibatkan dana pinjaman mudah sebanyak RM3.3 bilion disediakan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik, katanya.

Selain itu, persiapan bagi langkah-langkah utama yang disasarkan untuk berkuat kuasa pada 1 April 2020 sedang berjalan lancar.

“Ini termasuklah langkah penangguhan bayaran ansuran bulanan cukai pendapatan bagi industri pelancongan, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pemberian diskaun bil elektrik.

“Berdasarkan peruntukan langsung kerajaan sebanyak RM3.2 bilion yang disediakan di bawah PRE 2020, sehingga 23 Mac 2020, sebanyak RM1.7 bilion telah disalurkan kepada kementerian dan agensi yang berkenaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :