AGENSISELANGOR

Covid-19: Jais larang majlis akad nikah di tempat awam

SHAH ALAM, 17 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak membenarkan sebarang majlis akad nikah diadakan di tempat awam seperti masjid, surau dan seumpamanya selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Jais dalam satu kenyataan memaklumkan majlis akad nikah dilakukan di premis persendirian dan tempohnya tidak melebihi 20 minit, termasuk khutbah nikah.

“Majlis akad nikah disarankan dihadiri seorang Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua saksi serta masing-masing dua wakil pengantin lelaki dan perempuan.

“Akad nikah juga dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Jais juga melarang sebarang majlis kenduri untuk meraikan akad nikah diadakan selaras dengan arahan perintah berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perintah kawalan itu, yang dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, antara lain meliputi larangan menyeluruh pergerakan serta perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

-BERNAMA


Pengarang :