AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kakitangan dijangkiti virus, Suhakam tutup ibu pejabat

SHAH ALAM, 12 MAC: Ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Menara Tabung Haji Perdana, Kuala Lumpur ditutup tiga hari mulai semalam selepas seorang pekerjanya positif Covid-19.

Susulan itu, pekerja tersebut diberi pelepasan bekerja dari rumah, manakala aktiviti dan program ditangguh sementara waktu.

“Suhakam mengambil langkah mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit serta diminta mendapatkan ujian sewajarnya.

“Pihak kami juga mengambil langkah mengawal penyebaran virus terutama dalam kalangan pekerja selain bekerjasama dengan pengurusan bangunan dan Kementerian Kesihatan untuk proses nyahkuman,” kata Suhakam dalam kenyataan semalam.

Suruhanjaya tersebut turut meminta orang ramai yang berinteraksi dengan pegawainya sejak 2 Mac lalu untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah jika mengalami simptom.

“Segala kesulitan yang berlaku dalam menangani perkara ini amat dikesali dan pihak kami akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang dan media sosial rasmi,” katanya.


Pengarang :