EXCOSELANGOR

Covid-19: Karnival Kerjaya Jobvaganza @ DUN Bukit Melawati ditangguhkan

SHAH ALAM, 12 MAC: Karnival Kerjaya Jobvaganza @ DUN Bukit Melawati yang dijadualkan berlangsung 15 Mac ini ditangguhkan ke suatu tarikh lain susulan gelombang kedua penularan Covid-19.

Pejabat EXCO pembangunan generasi muda dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai situasi wabak di Selangor yang membimbangkan.

“Oleh demikian, Kerajaan Selangor memutuskan hari ini untuk menangguhkan semua program sehingga keadaan pulih seperti biasa dan memohon maaf atas kesulitan ini,” katanya.

Pada 7 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menasihatkan penganjur supaya membatalkan semua program bersakala besar susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi peraturan kesihatan supaya penularan virus dapat dikekang.

Sebelum ini, penganjuran Woman Marathon yang sepatutnya berlangsung 8 Mac lalu di Petaling Jaya membabitkan 8,000 peserta dibatalkan atas faktor kesihatan.


Pengarang :