Orang ramai memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan Covid-19 di Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Kes baharu di Singapura cecah 200, 97 pulih

SINGAPURA, 14 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 13 lagi kes positif jangkitan COVID-19 dengan sembilan daripadanya ialah kes dari luar.

Peningkatan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif penyakit itu di Singapura kepada 200.

Daripada sembilan kes dari luar, dua daripada mereka mempunyai kaitan dengan perhimpunan keagamaan di sebuah masjid di Malaysia, masing-masing lelaki rakyat Singapura berusia 30 dan 37 tahun dan kini dimasukkan ke bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Mereka disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam, kata kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Satu lagi kes dari luar melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun yang telah melawat Jerman, Republik Czech, Austria dan Hungary antara 1 hingga 10 Mac lepas.

Pemegang Pas Kerja Singapura itu juga disahkan dijangkiti Covid-19 dan kini ditempatkan dalam bilik isolasi di NCID.

Menurut MOH, satu lagi kes jangkitan COVID-19 sudah dibenarkan keluar hospital, menjadikan angka mereka yang pulih sepenuhnya kepada 97.

Daripada 103 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih sementara 11 lagi dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari semalam, MOH mengenal pasti 4,910 kontak rapat dikuarantin.

-BERNAMA


Pengarang :