Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM sahkan sembilan lagi kes positif, 32 sembuh

SHAH ALAM, 12 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan sembilan kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif positif virus sebanyak 158 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak enam kes pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan keseluruhan pesakit yang sembuh sebanyak 32 kes.

“Pada masa ini terdapat tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil,” katanya melalui kenyataan di Twitter.

Beliau berkata daripada 158 kes itu, 26 kes dalam kalangan pesakit yang dipantau, 127 kes kontak rapat, dua kes jangkitan pernafasan akut teruk, dua misi bantuan kemanusiaan dan satu penyakit seperti influenza.

Hari ini, kerajaan mengambil keputusan menyekat perjalanan semua rakyat Denmark dan warganegara asing yang datang dari negara itu susulan penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Yusof berkata mereka juga dilarang membuat transit di mana-mana pintu masuk negara, berkuat kuasa 14 Mac.


Pengarang :