Petugas memeriksa suhu badan seorang lelaki di hadapan kapal Splendid yang akan digunakan sebagai hospital untuk pesakit Covid-19 di Genoa, Itali pada 20 Mac 2020. Foto Reuters
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Lebih 17,000 kes di Eropah dalam 24 jam

GENEVA, 21 MAC: Sebanyak 17,506 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Eropah dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 104,591, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.

Seramai 4,899 pesakit meninggal dunia setakat Khamis, peningkatan 816 kematian berbanding hari sebelumnya, lapor agensi berita Xinhua.

Negara Eropah paling terjejas ialah Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis, semuanya mencatatkan kes melebihi 10,000 – lebih 80,000 jangkitan, termasuk 4,566 kematian.

Di luar China, wabak itu mengorbankan lebih 6,500 orang, jumlah kes kumulatif melebihi 150,000.

Menurut WHO, lebih 230,000 kes dilaporkan di seluruh dunia, termasuk lebih 9,000 kematian.

Enam negara dan wilayah melaporkan kes pertama manakala 96 negara dan wilayah menyaksikan jangkitan antara komuniti.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata wabak Covid-19 setiap hari mencatatkan peningkatan dan semakin tragis.

“Setiap kehilangan nyawa satu tragedi,” kata Tedros sambil menyeru semua pihak terus menggiatkan usaha dan melakukan yang terdaya untuk menamatkan rantaian jangkitan demi menyelamatkan nyawa.

-BERNAMA


Pengarang :