Selangorkini
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih banyak hospital sementara jika kes naik mendadak

PUTRAJAYA, 29 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka lebih banyak hospital sementara sekiranya kes baharu Covid-19 meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hospital sementara yang dibuka akan menempatkan pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Contohnya hari ini kita dapat 150 kes baharu. Kalau kita lihat keadaan harian terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak, jadi kita mungkin akan buka lagi hospital sementara, dewan-dewan dan stadium, jika perlu.

“Kalau kita dapat 1,000 kes sehari kita mungkin akan guna hospital sementara ini untuk kes-kes yang tak bergejala tetapi positif atau gejala ringan, yang tak melibatkan saluran pernafasan,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pemilihan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang sebagai hospital sementara adalah untuk persiapan sekiranya berlaku gelombang ketiga memandangkan kepadatan penduduk di Kuala Lumpur adalah tinggi.

Semalam, beliau berkata dua dewan MAEPS dijadikan pusat kuarantin dan rawatan untuk merawat pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala serta bergejala ringan.

Sejumlah 600 katil ditempatkan di kedua-dua dewan itu meliputi 400 unit di Dewan A, manakala 200 lagi di Dewan B.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pesakit yang dipindahkan ke Institut Latihan KKM merupakan kes-kes yang tidak bergejala tetapi positif Covid-19, bergejala dan positif Covid-19, serta bergejala ringan dan positif Covid-19.

“Kita akan pindahkan mereka ini ke Institut Latihan KKM kita dulu. Hospital akan dikhaskan untuk kes-kes yang ‘moderate’ (sederhana) ataupun kritikal,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :