Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Liga Hoki Remaja Malaysia tunda

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Satu demi satu acara sukan terpaksa ditangguh atau dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19, dan terbaharu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penangguhan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2020.

Saingan liga remaja itu dijadual bermula 25 Mac dan berakhir pada 19 April ini, membabitkan kategori lelaki bagi Divisyen Satu dan Dua itu ditunda sehingga ke satu tarikh ditentukan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata langkah itu diambil selepas perbincangan antara KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN), demi keselamatan pemain.

“Ia selaras ketetapan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April. Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila ia diadakan semula namun ia bukan dibatalkan.

“Secara keseluruhannya hampir 90 peratus persediaan dilakukan untuk LHRM 2020 tetapi kami mendapat notis daripada Kementerian Pendidikan segala aktiviti luar tidak digalakkan untuk pelajar,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Anil Jeet berkata, menerusi perbincangan dengan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, tiada jangka masa maksimum tempoh penundaan itu ditetapkan sebaliknya tarikh baharu hanya akan dimuktamad selepas mendapat ‘lampu hijau’ dari KBS dan Kementerian Pendidikan.

-BERNAMA


Pengarang :