Animosta Studios Sdn Bhd, mengambil inisiatif menyokong Perintah Kawalan Pergerakan dengan membuat video Khidmat Pesanan Awam
AGENDANASIONAL

Covid-19: Papa Zola, Pipi Zola seru orang ramai duduk rumah

SHAH ALAM, 19 MAC: Syarikat penerbitan animasi BoBoiBoy, Animosta Studios Sdn Bhd, mengambil inisiatif menyokong Perintah Kawalan Pergerakan dengan membuat video Khidmat Pesanan Awam berdurasi 1.36 saat.

Dalam video memaparkan dua watak terkenal, pasangan anak beranak Papa Zola dan Pipi Zola menggesa semua rakyat mematuhi larangan pergerakan yang baru bermula semalam hingga 31 Mac depan.

Selain itu, Papa Zola yang turut dikenali sebagai ‘Papa Kebenaran’ turut menyenaraikan simptom Covid-19 seperti demam, sakit tekat, batuk serta susah bernafas.

Video yang dikeluarkan itu turut menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan selain melarang keluar rumah tanpa sebarang tujuan yang berpotensi berjangkit.

Watak berkenaan mengingatkan orang awam mematuhi segala arahan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menerusi ciapan Twitter juga menasihati orang awam supaya duduk di rumah selari dengan perintah kerajaan.

“Pengawalan pergerakan. Duduk di rumah. Stay at home. Tolong jangan sebarkan virus,” katanya.


Pengarang :