PBTSELANGOR

Covid-19: PDT Kuala Selangor nafi mesej tular

SHAH ALAM 25 MAC: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor menafikan mesej mengandungi enam perkara berhubung mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 Kuala Selangor seperti tular di aplikasi WhatsApp, kata pegawai daerah Kuala Selangor.

Mohd Faizal Abdul Raji berkata mesyuarat penyelarasan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara antaranya pengagihan tugas pasukan keselamatan, lapor Sinar Harian.

“Kita bincang beberapa perkara termasuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu polis memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, mesyuarat itu turut memberi tumpuan berhubung keperluan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor yang kekurangan khemah dan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 95 peratus penduduk di Kuala Selangor mematuhi arahan dilaksanakan kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19.

“Saya sendiri membuat rondaan di beberapa kampung termasuk di Kampung Baru Cina, Pekan Tanjong Karang dan Ijok.

“Terdapat tiga pemeriksaan dijalankan pasukan keselamatan terhadap kenderaan keluar masuk di daerah ini iaitu di Pekan Tanjong Karang, Ijok dan susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR),” katanya.

Sebelum ini, tular mesej palsu berhubung enam perkara dibincangkan pada mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 di daerah Kuala Selangor.


Pengarang :