Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Polis perkenal SOP baharu

PASIR MAS, 11 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada pegawai dan anggotanya yang bertugas di lokap dan lapangan terbang dalam usaha mengurangkan risiko mereka dijangkiti Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata mesyuarat pengurusan tertinggi Bukit Aman memutuskan antara langkah yang perlu diambil pegawai dan anggotanya terutama yang bertugas di lokap ialah membuat pemeriksaan kesihatan awal terhadap orang kena tahan (OKT).

“Pegawai dan anggota yang bertugas di lokap perlu bertanya kepada OKT jika mereka kurang sihat seperti mengalami demam ataupun batuk.

“Jika OKT mempunyai simptom-simptom itu, ia perlu dimaklumkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Ketua Polis Negara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Seramai 264 pegawai dan anggota polis yang telah berpencen menerima pingat berkenaan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka pada zaman darurat.

Abdul Hamid berkata bagi pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan terbang pula, pihaknya amat menitikberatkan tahap kebersihan dan langkah pencegahan seperti memakai penutup mulut dan hidung dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman.

“SOP yang diputuskan pada mesyuarat semalam itu akan berkuatkuasa hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seorang anggota polis kini dikuarantin selepas disyaki keluar bersama seorang pesakit yang positif Covid-19.

“Pucuk pimpinan PDRM amat mengambil berat mengenai tahap kesihatan dan kebajikan pegawai dan anggota kami dalam usaha menangani wabak ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :