Datuk Seri Mazlan Lazim (kanan) membuat pemeriksaan kenderaan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur pada 24 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Polis tingkat kawalan di tiga zon merah di KL

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Polis Diraja Malaysia meningkatkan kawalan di zon merah iaitu Titiwangsa, Kepong dan Lembah Pantai di sini bagi mencegah jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ini berikutan pergerakan awam masih tinggi di ketiga-tiga kawasan berkenaan meskipun polis dan Angkatan Tentera Malaysia berusaha untuk mengurangkan pergerakan awam.

Beliau berkata pihaknya akan memantau dengan lebih kerap dan akan memperbanyakkan lagi keanggotaan dalam sekatan jalan raya serta hebahan larangan orang awam keluar rumah kecuali untuk urusan kecemasan sahaja.

“Dalam tiga kawasan ini kami minta kerjasama orang ramai kurangkan pergerakan walaupun ada yang keluar untuk keperluan penting sahaja. Kalau boleh keluar sehari sekali sudahlah. Kita nak hadkan pergerakan,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Murni di sini, hari ini

Mazlan turut turun padang bagi memantau operasi sekatan jalan dilaksanakan tentera dan polis di Pasar Borong Kuala Lumpur yang sentiasa menjadi tumpuan awam dan meneruskan usaha memberikan nasihat kepada orang ramai.

-BERNAMA


Pengarang :