AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Program Jom Masuk IPT dibatal

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Semua program Jom Masuk IPT 2020 yang akan diadakan di Perak, Terengganu, Sarawak dan Selangor dibatalkan berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Wahi Nordin berkata keputusan itu dibuat kerana mengambil kira keselamatan pegawai kerajaan dan masyarakat umum.

“Ini selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan iaitu semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (perhimpunan massa) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Jom Masuk IPT 2020 yang bermula bulan lalu hingga bulan ini, melibatkan lapan lokasi di seluruh negara, bertujuan untuk mempromosi dan menyebar luas maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan di dalam negara.

– BERNAMA


Pengarang :