Seorang wanita memakai pelitup muka di sebalik kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di Thailand pada 4 Mac 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Covid-19: Ribuan warga Thailand pulang dari Korea Selatan dikuarantin

BANGKOK, 5 MAC: Thailand hari ini mengumumkan kuarantin selama 14 hari bagi semua warganegaranya yang pulang dari Daegu, pusat penularan wabak Covid-19 di Korea Selatan dan wilayah Gyeongsang yang berdekatan dengan kawasan itu.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata rakyat Thailand yang pulang dari kawasan wabak berkenaan akan dikuarantin di pusat-pusat yang ditetapkan di negara itu.

Beliau berkata mereka yang pulang dari wilayah lain di Korea Selatan akan dibenarkan pulang ke rumah tetapi pihak berkuasa kesihatan akan memantau keadaan mereka manakala yang menunjukkan gejala Covid-19 akan kekal di kemudahan kuarantin tersebut.

“Kerajaan mengambil langkah diperlukan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat. Kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kerajaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan mengenai Covid-19 di sini semalam.

Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan berkata pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan penyaringan penumpang yang tiba dari Korea Selatan.

Thailand berusaha membawa pulang ribuan warganya yang bekerja di Korea Selatan termasuk ‘Phi Noi’, istilah yang merujuk kepada pekerja haram Thai di Korea Selatan, berikutan wabak Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :