Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Satu lagi kematian terbaharu, jumlah terkini sembilan

SHAH ALAM, 22 MAC: Satu lagi kematian susulan Covid-19 dicatatkan hari ini membabitkan doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusia 48 tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian kesembilan itu dari kes ke-890, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Jangkitan Pernafasan Akut Teruk.

“Beliau disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac setelah keadaan kesihatannya merudum.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes tersebut disyaki bukan dalam kalangan barisan hadapan mahupun rakan kerja yang merawat pesakit Covid-19, tetapi berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara.

Sebanyak sembilan kematian direkodkan di seluruh negara, dengan 1,183 kes positif dan 114 sembuh.


Pengarang :