Dua wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19 ketika berada di kawasan membeli-belah Orchard Road, Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 12 kes baharu, lapan kes import

SINGAPURA, 12 MAC: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada Rabu melaporkan 12 lagi jangkitan virus Covid-19 dengan lapan daripadanya adalah kes import.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu setakat ini ialah 178.

Menurut kenyataan MOH semalam, satu daripada kes import membabitkan seorang wanita rakyat British berusia 37 tahun.

Dia berada di Jepun dari 24 Februari hingga 4 Mac dan UK dari 4 hingga 8 Mac.

Wanita itu telah disahkan dijangkiti virus Covid-19 pagi semalam dan kini ditempatkan dalam bilik isolasi.

Satu lagi kes import membabitkan seorang wanita rakyat Indonesia berusia 56 tahun yang tiba di Singapura pada 9 Mac.

Dia dilaporkan mula mengalami gejala penyakit itu pada 6 Mac ketika berada di Indonesia.

Kes import lain membabitkan seorang rakyat Filipina dan beberapa rakyat Singapura.

Menurut MOH, tiga lagi pesakit Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah pulih ialah 96.

Daripada 82 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala sembilan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari Rabu, MOH telah mengenal pasti sejumlah 4,218 kontak rapat yang telah dikuarantin.

– BERNAMA


Pengarang :