Dua wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah pencegahan virus Covid-19 ketika berada di kawasan membeli-belah Orchard Road, Singapura pada 10 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 631 kes keseluruhan, 160 pulih

SINGAPURA, 26 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) semalam melaporkan tambahan 73 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 38 adalah kes import.

Dengan perkembangan terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes adalah 631.

MOH dalam kenyataan semalam berkata 38 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara, ASEAN dan beberapa negara Asia.

Salah satu kes import melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 30 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura.

Sementara itu, 27 kes lain dikaitkan dengan kluster atau kes-kes sebelumnya sementara lapan kes setakat ini belum dipastikan kaitan dengan kes lain dan pengesanan kontak masih dijalankan, kata kementerian itu.

Ia memaklumkan bahawa PCF Sparkletots Preschool di Bedok North, dan Dover Court International School, Dover Road telah dikenal pasti sebagai kluster baharu di republik itu.

Menurut kenyataan itu, lima lagi kes jangkitan Covid-19 telah discaj dari hospital, menjadikan keseluruhannya 160 kes pulih sepenuhnya.

Daripada 404 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau semakin pulih sementara 17 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, kata kenyataan itu.

Sehingga tengah hari semalam, MOH telah mengenal pasti 8,930 kontak rapat dan telah dikuarantin.

– BERNAMA


Pengarang :