Pegawai kesihatan Indonesia mengambil suhu badan penumpang yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta ekoran kebimbangan penularan Covid-19 pada 23 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Solat Jumaat di Indonesia tidak dibatal

JAKARTA, 13 MAC: Indonesia, negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia, tidak mengambil pendekatan membatalkan solat Jumaat hari ini, sekalipun penularan virus Covid-19 kini diisytiharkan sebagai pandemik.

Bagaimanapun, Menteri Agama Indonesia, Fachrul Razi dalam satu kenyataan meminta orang ramai tidak bersalam-salaman ketika berada di masjid, dan tetap menjaga kebersihan diri.

Masjid juga diminta tidak menggunakan permaidani di samping lantai masjid perlu dibersihkan dan disembur ubat pembasmi kuman.

Media tempatan melaporkan, Presiden Indonesia Joko Widodo turut meninjau operasi pembersihan dan semburan ubat pembasmi kuman di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Indonesia sebagai persiapan pelaksanaan solat Jumaat hari ini.

Manakala satu video memaparkan Naib Presiden Indonesia Ma’ruf Amin bersama bekas Naib Presiden Jusuf Kalla dan Menteri Kewangan Sri Mulyani pada satu majlis, yang bersalaman menggunakan siku, turut tular dalam media sosial dan disiarkan di stesen televisyen tempatan, sebagai mendidik orang ramai untuk lebih berjaga-jaga.

Pada 2 Mac lepas, Indonesia, negara dengan penduduk lebih 270 juta, yang lebih 85 peratus beragama Islam turut tersenarai negara dijangkiti Covid-19, dan setakat ini turut mencatatkan satu kematian (pada 11 Mac).

Setakat ini, 34 kes positif Covid-19 dilaporkan di Indonesia.

– BERNAMA


Pengarang :